Tuesday 8 January 2013

Anugerah Mu atau khayalan ku


Petang hari  Sabtu 29/12/12, seperti biasa kami ke “pusara bernisan biru”. Kali ini kami menghabiskan masa dengan membersih dan membaiki beberapa pusara yang rosak termasuklah “pusara bernisan biru” milik abang akibat hakisan tanah lantaran “rahmat Allah dari langit” turun mencurah-curah sejak kebelangkan ini. Sedang kami leka menyudahkan kerja-kerja pembaikan kami di sapa oleh Abang fauzi dan isterinya Leha, mereka berdua adalah kenalan baru kami dan tempat kami selalu bertembung adalah di tempat ini “Tanah Perkuburan Islam Setali”. Mereka juga ibubapa terpilih seperti kami di mana anaknya juga telah dijemput untuk dijadikan “bidadari syurga”. Kami bersembang sambil tangan laju membuat kerja, amat senang bersembang dengan mereka kerana kami mempunyai banyak persamaan,…kehilangan…dan kerinduan…

Cuaca pada petang itu amat baik, angin bertiup lembut….tiba-tiba aku dapat menghidu bau wangi-wangian, harum dan nyaman, aku tidak pasti sama bau yang sama dapat dirasai oleh mereka yang berada di situ. Dalam diam aku cuba mencari dari mana datangnya bau wangi itu, namun gagal dan pada mereka tidak aku ceritakan. Mungkinkah anugerah dari Mu Ya Allah…
Malamnya kami ke majlis Ilmu di Masjid Kipsas..”Majlis Kuantan Berselawat”..Ramai sungguh anak-anak kecil dan remaja tak kira lelaki maupun perempuan. Yang lelaki mengenakan jubah berwarna putih beserta kopiah, manakal yang perempuan pakain serba hitam. Terasa diri terlalu kerdil bebanding dengan mereka.Majlis di mulakan dengan solat magrib,perasmian, solat isyak dan baru acara berselawat. Amat merdu, bersemangat dan mengasyikkan.
Sedang leka aku mengikut rentak mereka tiba-tiba aku dapat menghidu wangi-wangian, sama baunya semasa di pusara bernisan biru, hati berbisik “wanginya dari mana datangnya” Tiba-tiba mata terlihat kelibat dua orang kanak-kanak lelaki berjubah putih tersenyum ke arah ku si abang memegang erat tangan si adik, persis arwah anak-anakku. Ya Allah adakan aku bermimpi atau sedang berkhayal?. Atau ini memang anugerah dari Mu untuk ku…seorang ibu yang sangat merindui anak-anaknya…dan sekira ianya benar Alhamdulillah dan aku amat bersyukur dan be terima kasih di atas limpah kurnian Mu Ya Allah.

Oleh kerana hari sudah lewat kami pulang sebelum majlis selesai, pulang dengan jiwa tenang dan hati yang lapang seolah-olah terlekai sudah apa sebuah kerinduan. Akan ku kenang detik ini sampai bila-bila , biarlah di luar mengata itu cuma khayalan aku, tapi tidak bagi aku…kerana Allah sahaje yang tahu rahsia di sebalik nya.
Ya Allah…di ssat hati kembang dalam pencarian,hanya satu harapanku agar perolehi redha MU dengan segala keluhuran dan kebenaran aku benar-benar berharap hanya pada Mu. Ya Allah belajar untuk redha dengan apa yang Engkau takdirkan buat ku..kerana bahagia ku adalah bersama redhamu. Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang tidak aku ketahui..Demi Engkau yang memiliki hati ini, kebahagian ini,serta nyawaku genggamlah ia agar tidak menjadi debu..genggamlah semuanya agar bisa untuk bersatu dalam redha Mu…..

Yang merindui
UMMIMDAZA
         8/11/2012(11.45pm)

No comments:

Post a Comment