Sunday, 18 May 2014

Tunggu Ummi ya sayang...

Sudah 2 hari ummi tidak ke taman syurga anak anak. Hujan lebat beserta ribut membataskan ummi untuk ke sana..hemmm..tiada kata kata yang boleh diucapkan...betapa rindunya hati ini. Dan 2 hari juga ummi menghabiskan masa membelek belek album gambar gambar bidadari syurga, menyusun atur semula alat alatan sekolah, barang barang permainan.
Hari ini abah mengambil kesempatan membersihkan akuarium tempat dimana kura kura abang bermain...sudah makin membesar kura kura itu...abah menamakan dia dengan panggilan "abang"..dan setiap kali nama itu dipanggil maka dia akan berenang renang riang.... sayang sekali tuan punya kura kura sudah tiada...
Tiba tiba ummi terasa rindu untuk memanggil nama kamu berdua..dengan nada perlahan ummi memanggil..walaupun ummi tahu panggilan tidak disahut..ada sedikit kepuasan....
Pada sebelah petang abah keseorangan ke taman syurga kamu..kata abah pusara kamu bersih sekali..tidak banyak daun kering yang berguguran..cuma beberapa kuntum bunga kemboja bertenggek di kepok pusara bidadari bidadari syurga ini..
Insyallah esok ummi akan je sana ya sayang..
Datang bersama seberkas rindu..
Mengheret sayang yang tiada penghujungnya..


Tunggu ummi ..anak anakku...
UMMIMDAZA 18hb Mei 2914...8.45pm

Monday, 28 April 2014

Hadirlah Bertamu Didalam Mimpinya Agar Terubat Ridu Yang DTanggung

Duhai sijantung hati....

Dalam kenangan pada 28hb April 2012, gambar ini diambil ketika membawa arwah ke KMC dan bermula dari tarikh ini perginya adik tidak kembali lagi ke pangkuan kami, ke rumah dimana tempat dia dibesarkan dan bermain. Kini adik amat berbahagia dibawah jaga Nabi Ibrahim As, bermain main bersama abang dan yang amat dirinduinya dan jua dengan bidadari syurga yang lain di TAMAN SYURGA ALLAH. Bermainlah anak anakku sayang, berbahagia kamu disana... insyallah suatu hari nanti ummi dan abah ke sana jua untuk bersama sama dengan kamu berdua.. bukan mudah untuk ummi dan abah ke sana...kami mesti membawa "bekalan " yang secukup ..... 

 
Anak anak tersayang...
Sejak kebelakangan ini kesihatan abah tidak befu baik...deman yang tidak mahu kebah, selsema  datang dan pergi tidak mengira waktu dan sesekali disulami dengan batuk. Kesian ummi dan angah melihat keadaan abah, tapi memang seorang abah yang kuat dan tabah seperti mana abang dan dan adik selalu katakan “abah memang hebat, abah memang power..bila besar nanti kita orang nak jadi macam abah”. Walaupun dalam keadaan demam abah tetap mahu jua ke pusara kalian berdua, malah semasa abah diberikan cuti sakit selam 3 hari, abah hanya menghabuskan masanya di pusara kalian, abah lebih senang berada disamping pusara kalian daripada berehat di rumah...

Abang dan adik yang dirindui....
Abah tidak pernah meluah rasa hatinya pada ummi maupun angah...tapi jauh disudut hati ini ummi tau abah terlalu merindui hero heronya.. potret potret abang dan adik selalu direnongkannya...tersenyum..seolah olah abang dan adik berada disisinya...dan kadang mengeleng gelengkan kepalanya dan dikala itu akan terlihat ada air jernih sudah mulai bertakung dikelopak mata nya...


Aduhai bidadari bidadari syurga...
Hadirlah dalam mimpi mimpi abah, sesungguh itulah yang abah selalu harapkan, bertamulah wahai bidadari bidadari tersayang biar terubat rindu abah yang kian sarat, pada Mu Ya Allah makbulkan permintaan abah kedua bidadari bidadari syurga ini...Ya Rahman berikan kekuatan dan semangat  buat abah... kerana dia merupakan tulang belakang buat ummi dan angah,,,,Abah sekarang ini hanya menghitung hari...menunggu tarikh keramat itu...



Dalam kesendirian dan raga yang terdiam
Entah kenapa hatiku tiba-tiba gundah
Dan jiwaku seakan bergoncang keras

Aku ingin berteriak keras
Melepaskan kegundahan ini
Dan hati yang terbelenggu
Aku ingin berlari menghampirimu
Memelukmu erat dan biarkan butir mutiara menetes disudut matamu basahi dadaku
Tapi aku hanya bisa terdiam dan berdiri disudut ruangan ini
Masih dikelilingi oleh bayangmu
Aku hanya bisa membentangkan sajadah
Mencoba berkomunikasi dengan Sang Pencipta
Bersimpuh dan larut dalam doaku untukmu

Selamat bidadari bidadari ummi dan abah..
Tidurlah bidadari bidadari syurga kami
Agar pelangi seindah senyuman  tetap lingkari hari-hari kalian
Dan kami bisa ikut tersenyum rasakan kebahagian ....


Ummimdaza
28hb April 2014-04-29 11.50pm


Saturday, 19 April 2014

HARI JADI EMAK YG KE 69 TAHUN

17hb April 2014 kami menyambut ulang tahun emak yang 69 tahun. Tiada majlis yang besar untuk emak, kami hanya membeli kek buat kejutan untk emak, dan kebetulan pada hari itu emak menyediakan laksa pahang kegemaran kami adik beradik. Ini tahun kedua emak menyambut hari jadi tanpa abah disisi. Jangan bimbang emak ...kami adik beradik, anak anak emak dan cucu cucu emak ini akan sentiasa berada disisi emak

Sempena ulang tahun emak kami adik beradik ingin mengambil kesemptan di sini mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR EMAK, semoga emak dipanjangkan umur,diberikan kesihatan  badan yang baik,diberikan ketenangan dan kelapangan jiwa. Dan semoga dibawah jagaan ALLAH SWT.

Tiada hadiah yang istimewa untuk kami persembahankan buat emak, selain dari doa yang tulus iklas dari hati kami, dan jua kasih sayang yang tidak berbelah bagi buat emak...Sesungguhnya emak tidak terbalas walaupun dengan berjuta wang ringgit ataupun timbunan harta
TERIMA KASIH EMAK DI ATAS SEGALA GALA NYA


Anakmu Ummimdaza
17/4/2014  11.05pn







Tuesday, 1 April 2014

Kunjungan Kasihsayang ~Pusara Bernisan Biru

28hb March 2014 (Jumaat)

Assalamualaikum...
Buat ayahanda tercinta..
Putra putra ummi tersayang lagi dirindui..
Dan juga buat penghuni penghuni kubur yang dikasihi
Di petang Jumaat yang mulia lagi barakah ini..kami ke sini lagi
Mengutus alfatihah, menitipkan doa keriduan agar di sampaikan..
Spaerti biasa pusara bernisan biru dan persekitaran kami cuci sebaik baik mungkin
Hari ini kami akan berangkat ke luar daerah selama 2 hari..
Dan selama 2 hari juga kami yakin pusara bernisan tidak akan ada sesiapa yang mengunjunginya...

31hb Mac 2014 (Isnin)

Petang selepas waktu pejabat..
Kami kembali ke rutin harian kami..
Pusara bernisan biru kami kunjungi setelah 2 hari kami tinggalkan
Sebaik melangkah masuk ke kawasan perkuburan..
Mata kami terpaku dan agak terkejut...
Amat bersih dan seperti dijaga rapi..
Keadaan sama seperti kami tinggalkan 2 hari yang lalu..
Terimasih tidak terhingga kami ucapkan kepada hamba Allah yang sudi membershkannya...

1hb Aprl 2014 (Selasa)

Pusara bernisan biru kami kunjungi lagi...
Keadaan masih lagi sama seperti semalam..
Hanya sehelai dua daun kering yang berguguran..
Tanahnya jua masih lembap...
Udaranya masih jua nyaman..
Kicauan burung amat merdu menyanyi nyani..

Cuma pada hari ini disini ada penghuni baru yang akan di semadikan...
Hati menjadi sayu...dan tertanya tanya...
Bilakah pula giliran kami untuk menjadi penghuni disni???
Alfatihah kami hadiahkan buat penghuni yang baru itu..
Semoga rohnya di tempatkan bersama sama orang orang yang beriman..
Amiin Ya Robbalalmin...




UmmiMdaza
1hb April 2014...10.11pm








Saturday, 15 March 2014

Majlis Tahlil Dan Doa Selamat Harijadi Ain...15/3/2014

Ahamdulillah selesai sudah majlis tahlil arwah buat insan insan yang kami sayangi..dan doa selamat buat hari kelahiran Nurul Ain Aqilah...anak saudaraku, cucu kesayangan arwah abah, kerana sedari kecil lagi Ain dibesar didepan mata abah dan emak, teman sepermainan arwah Abqari, teman bergaduh dan teman menonton, yang paling istimewanya Ain adalah adik beradik susuan arwah Ashroqi...
Majlis tahlil ini teralalu ringkas...tiada jiran teteangga yang kami undang, tiada sahabat handai yang kami jemput...secukup sekadar kami anak beranak, itupun tidak semua yang ada...
Kami solat maghrib berjemaah seramai 14 orang di mana Ahmad Nashoa menjadi imamnya, selepas solat tahlilpun dimulakan..sayu hati, sebakpun terasa..dan kemudiannya diikuti solat isyak...selesai majlis tahlil..
Kami mula berkumpul kembali untuk meraikan majlis hari jadi Ain...dan dimajlis ini adalah beberapa orang kenalan Kak Chik (mama Ain dan adik aku)datang  bagi memeriah majlis Ain..seronok melihat telatah kanak kanak... hati sedikit terusik...airmata mulai tergenang...tapi aku berjaya mengawal emosi, aku tidak mahu merosakkan majlis hari jadi Ain..
Dan pada pagi ini aku akan membawa emak ke pusara..bagi menyirami air tahlil...dah lama emak tidak ke pusara..dan sudah lama juga ingin perbuatan demikian..tapi disebabkan keadaan emak yang tidak mengizin semuanya terhalang...
Semoaga kami diberikan kesempatan untuk majlis seperti ini di masa akan datang bersama kesmua ahli keluarga yang lain Insyaallh



Salam Sayang..
UmmiMdaza 16/3/2014...7.59

Sunday, 9 March 2014

KAMI TIDAK PERNAH JEMU UNTUK KE SINI....

~PUSARA BERNISAN BIRU~

Tidak pernah ada rasa letih
Tidak pernah ada erti tdk cukup waktu
Jauh sekali rasa jemu...
Kami tetap akan ke sini dengan izin Nya..
Datang bersama gedongan rasa rindu
Datang bersama seberkas rasa sayang
Datang bersama sejambak bunga cinta
Al fatihah kami kami titipkan..
Surah yasin kami alunkan..
Doa penuh kerinduan kami pohon agar disampaikan
Taburan bunga kami semarakan..
Kami tahu semerbaknya taburan bunga yang kami hadiahkan tidak menandingan haruman bau syurga tempat kalian diami..
Ya Allah Sampai Salam Rindu Kami Buat Insan Kami Sayang Lagi Dirindui..
Suatu hari nanti di sini jua tempat kami..

Itu sudah pasti




Tidak pernah jemu...
Ummimdaza 9/3/2014..6,20 pm

Saturday, 8 March 2014

SAKIT ITU PENGHAPUS DOSA - ALHAMDULILLAH..

Setiap langkah perjalanan hidup kita sudah diatur ALLAH SWT dengan sebaik mungkin. Setiap kali ujian melanda bukan bermakna Dia tidak sayang pada hambaNya..sudah ada perkiraan dan peraturannya.
Aku disapa lagi dengan ujian dari Yang Maha Esa..
Tekanan darahku nak lagi...sejak beberapa hari kebelakangan ini keadaan diriku agak tidak setabil seolah olah berada di awang awangan aku harus menerima rawatan dan akhirnya  dinasihat supaya berehat dan mendapat rawatan di Hospital Pakar Kuantan. Ujian darah dilakukan dan keputusannya aku kekurang darah merah dan darah putih berlebihan..agak menghairankan...kenapa boleh jadi begini?..setelah  prosuder colocospopy dijalankan di atasku.didapati ada kerosokan pada bahagian usus..dan ini harus perbetulkan dengan segera.
Pada Khamis 6/3/2014 segala galanya berlaku...dibuangnya dan ditampal bahagian yang telah rosak dan berlubang. Syukur alhamdulillah semua selamat.Selama 5 hari aku berkampung di sini. Suami dan anak anak adalah penaman setiaku. Kata kata semangat serta iringan doa sentiasa dititp buat ku oleh saudara mara dan teman yang datang melawat dan. betapa bertuahnya aku masih punya emak sentiasa berada disis walaupun jua keadaan ku...
Sakit itu kifarah dosa..kita sebagai hambanya tidak lari dari musibahyang berupa kesakitan
Maklumlah kita insan yang kerdil, melakukan dosa saban masa. Dosa adalah sesuatu yang mebuat kita jauh dari Allah dan salah satu cara Allah menghapuskan dosa dengan dikirimkan kesakitan buat kita. Setiap kesakitan yang Allah berikan kepada kita semua di atas kehendak dan izinNya. Kadang kadang dengan kesakitan kita dapat menjadikan kita sedar akan nikmat sihat. Dengan kesakitan juga cara kita untuk sampai ke marqam yang teringgi disisnya..dan Allah akan mengugurkan dosa dosa kecil kita. Insyallah

Dan harus ingatlah oleh kita, ketika mana didalam kesakitan didatang 4 Malaikat
Malaikat pertama menarik nikmat makan
Malaikat kedua menarik nikmat rezeki
Malaikat ketiga menarik nikmat seri wajah
dan Malaikat keempat menarik segala gala dosa dosa kita
Subanallah sesungguhnya Allah itu maha penyayang pada hambanya...setelah kita kembali sihat maka dikembalikan semula nikmat nikmat yang telah diambilnya kecuali dosa dosa kita. Maka jadikan sakit itu sebagai penderitaan...jangan sesekali bersangka buruk dengan Allah, malah pandanglah sakit itu sebagai nikmat untuk Allah menghapuskan dan membersihkan kita dari dosa dan noda.
Ucaplah syukur...Alhamdulillah
"SEBUTLAH ALLAH KERANA UBAT DAN PENAWAR
JANGAN SEBUT MANUSIA KERANA ITULAH PENYAKIT"



Redha dengaan ketentuannya
Ummimada
9/3/2014...13.25pm..