Diam tak diam sudah hampir 1 ½ tahun Muhammad Dzuhil Abqari kembali ke rahmatullah
diikuti dengan Muhammad Dzuhil Ashroqi 6 bulan kemudian ini bermakna sudah 11
bulan (esok 1 April) adik bersama-sama abang di “alam sana” dan setelah 6 bulan adik
pergi Aki pula menyusul cucu-cucunya. (Hari ini genap 5 bulan kembalinya Abah ke Rahmatullah)
Dan ini bermakna juga sudah hampir 1 ½ tahun juga
kami menjadi pengunjung setia Tanah Perkuburan Hutan Setali. Sebelum ini aku
hanya tahu menyebut nama tempatnya sahaje, berkunjung jarang sekali dan seingat
aku kali terakhir aku ke tanah berkuburan 8 tahun (2005) sudah iatu semasa
bapa saudara ku yang di panggil “ayah” meninggal dunia. Malah ketika suami
kepada sepupu ku meninggal dan di kebumi di sini….aku tersesat,(kebetulan suami
ku tidak ada aku dan anak-anak termasuklah kedua-dua arwah anakku) malu tidak terkira kerana
terpaksa ditunjuk jalan oleh orang yang datang dari Negeri Sembilan. Tapi kini
tidak lagi…dan kini aku tahu berapa selekoh yang harus dilalui dan berapa
bonggol yang akan ditempohi.
Kami ke sini setiap hari dan kadang pada hujung
minggu 2 kali sehari. Dari berempat kini bertiga, dari pusaranya satu kini sudah
ada tiga. Rutin kami tetap sama. Setetah salam di berikan dan al Fatihah dibaca
kami mula kerja-kerja menyapu, membersih, merumput dan membakar sampah sarap,
menimbus kembali mana-mana kubur yang telah seruh tanahnya…. ada juga
pengunjung yang datang menziarah menyangkakan kami adalah pencuci kubur atau
penjaga kubur dan tidak kurang pula yang mahu memgupah kami untuk membersihkan
pusara waris mereka, kami hanya tersenyum dan menjawap “tidak..kami bukan
pencuci atau penjaga kubur dan kami juga tidak mengambil upah, kami buat semua
ini kerana Allah Ta,ala…ikhlas” ada juga yang bertanya “kesemua ini kubur
saudara ke?” “yang berwarna biru ini anak anak dan abah kami dan yang lain itu saudara
sesama islam” “bersih dan cantik macam halaman rumah , rajin betul…membersih
kannya”….alhamdulillah bukan pujian yang kami minta kerana takut dengan pujian
itu membuat kami leka dan riak…Ya Allah sesungguhnya kami mahu menjadi hamba
yang ikhlas dalam menjalan ibadah ini, kami ingin mencari sedikit saham buat
bekalan kami di sana untuk bersama –sama dengan orang yang kami sayangi .
Hampir setiap minggu kami menyaksikan kematian
dari pelbagai lapisan usia….dan di situ juga sudah pasti ada kedengaran
tangisan dan sendu sedan yang memilukan,meruntun hati kami setiap kali ianya
berlaku…. kami pernah merasainya , kami faham emosi yang melanda tika itu dan
sehingga kini rasa itu masih melekat di hati kami. Kami akan bertemu dengan
orang yang berlainan setiap kali kami berkunjung di “pusara bernisan biru”.
Mereka –mereka ini ada yang ramah tidak kurang juga yang tidak mahu menyambut
salam kami hulurkan. Tapi kami tidak pernah ambil hati pada semua itu.
Pernah suatu hari seorang lelaki memberitahu
pada suami ku, “encik kubur yang sebelah sana tu saya rasa dijaga oleh puteri”
sambil menunding ke arah pusara putra-putra kami “kenapa ?”soal suami ku
“bersih…tidak ada sehelai rumput pun yang tumbuh” katanya lagi…sambil tersenyum
suami ku menjawap “itu pusara anak-anak saya, saya datang ke sini setiap hari…”
“ooo patutlah”…Tapi entahlah samaada ianya perasaan kami ataupun reality….bau
wangi wangian yang ditiup bayu petang sering kali menjadi haluwa hidung kami.
Dan pernah juga kami dikejutkan dengan kedatangan seorang lelaki yang berjubah
serba hitam, yang aneh lelaki itu bukan datang untuk menziarahi sesiapa tetapi
dia hanya duduk diam di bawah pokok tembusu yang berada di kawasan perkuburan itu.
Dengan izinnya insyallah kami akan tetap ke
sini, sampai bila kami belum tahu, tapi yang pasti ke sini jua akhirnya. Tempat
yang kekal abadi, tempat di mana kita semua akan disemadi apabila ajal
menjemput nanti.Waullahhualam...
Yang Tetap Ke Sini
UmmiMdaza (30/4/2013..4.45pm)