Saturday, 30 March 2013

"Pusara Bernisan Biru....agar kami sentiasa ikhlas


Diam tak diam sudah hampir 1 ½  tahun Muhammad Dzuhil Abqari kembali ke rahmatullah diikuti dengan Muhammad Dzuhil Ashroqi 6 bulan kemudian ini bermakna sudah 11 bulan (esok 1 April) adik bersama-sama abang di “alam sana” dan setelah 6 bulan adik pergi  Aki pula menyusul cucu-cucunya. (Hari ini genap 5 bulan kembalinya Abah ke Rahmatullah)
Dan ini bermakna juga sudah hampir 1 ½ tahun juga kami menjadi pengunjung setia Tanah Perkuburan Hutan Setali. Sebelum ini aku hanya tahu menyebut nama tempatnya sahaje, berkunjung jarang sekali dan seingat aku kali terakhir aku ke tanah berkuburan 8 tahun (2005) sudah iatu semasa bapa saudara ku yang di panggil “ayah” meninggal dunia. Malah ketika suami kepada sepupu ku meninggal dan di kebumi di sini….aku tersesat,(kebetulan suami ku tidak ada aku dan anak-anak termasuklah kedua-dua  arwah anakku) malu tidak terkira kerana terpaksa ditunjuk jalan oleh orang yang datang dari Negeri Sembilan. Tapi kini tidak lagi…dan kini aku tahu berapa selekoh yang harus dilalui dan berapa bonggol yang akan ditempohi.
Kami ke sini setiap hari dan kadang pada hujung minggu 2 kali sehari. Dari berempat kini bertiga, dari pusaranya satu kini sudah ada tiga. Rutin kami tetap sama. Setetah salam di berikan dan al Fatihah dibaca kami mula kerja-kerja menyapu, membersih, merumput dan membakar sampah sarap, menimbus kembali mana-mana kubur yang telah seruh tanahnya…. ada juga pengunjung yang datang menziarah menyangkakan kami adalah pencuci kubur atau penjaga kubur dan tidak kurang pula yang mahu memgupah kami untuk membersihkan pusara waris mereka, kami hanya tersenyum dan menjawap “tidak..kami bukan pencuci atau penjaga kubur dan kami juga tidak mengambil upah, kami buat semua ini kerana Allah Ta,ala…ikhlas” ada juga yang bertanya “kesemua ini kubur saudara ke?” “yang berwarna biru ini anak anak dan abah kami dan yang lain itu saudara sesama islam” “bersih dan cantik macam halaman rumah , rajin betul…membersih kannya”….alhamdulillah bukan pujian yang kami minta kerana takut dengan pujian itu membuat kami leka dan riak…Ya Allah sesungguhnya kami mahu menjadi hamba yang ikhlas dalam menjalan ibadah ini, kami ingin mencari sedikit saham buat bekalan kami di sana untuk bersama –sama dengan orang yang kami sayangi .
Hampir setiap minggu kami menyaksikan kematian dari pelbagai lapisan usia….dan di situ juga sudah pasti ada kedengaran tangisan dan sendu sedan yang memilukan,meruntun hati kami setiap kali ianya berlaku…. kami pernah merasainya , kami faham emosi yang melanda tika itu dan sehingga kini rasa itu masih melekat di hati kami. Kami akan bertemu dengan orang yang berlainan setiap kali kami berkunjung di “pusara bernisan biru”. Mereka –mereka ini ada yang ramah tidak kurang juga yang tidak mahu menyambut salam kami hulurkan. Tapi kami tidak pernah ambil hati pada semua itu.
Pernah suatu hari seorang lelaki memberitahu pada suami ku, “encik kubur yang sebelah sana tu saya rasa dijaga oleh puteri” sambil menunding ke arah pusara putra-putra kami “kenapa ?”soal suami ku “bersih…tidak ada sehelai rumput pun yang tumbuh” katanya lagi…sambil tersenyum suami ku menjawap “itu pusara anak-anak saya, saya datang ke sini setiap hari…” “ooo patutlah”…Tapi entahlah samaada ianya perasaan kami ataupun reality….bau wangi wangian yang ditiup bayu petang sering kali menjadi haluwa hidung kami. Dan pernah juga kami dikejutkan dengan kedatangan seorang lelaki yang berjubah serba hitam, yang aneh lelaki itu bukan datang untuk menziarahi sesiapa tetapi dia hanya duduk diam di bawah pokok tembusu yang berada  di kawasan perkuburan itu.
Dengan izinnya insyallah kami akan tetap ke sini, sampai bila kami belum tahu, tapi yang pasti ke sini jua akhirnya. Tempat yang kekal abadi, tempat di mana kita semua akan disemadi apabila ajal menjemput nanti.Waullahhualam...


Yang Tetap Ke Sini 
UmmiMdaza (30/4/2013..4.45pm)

No comments:

Post a Comment