Wednesday, 3 April 2013

Kenangan Terindah :- MEMORIAL MDAZA


Siap sudah sepenuhnya….impian kami…impian anak-anak …..Loteng…kalau dulu masa tika mereka masih hidup , kami mahu jadikan loteng tempat mereka bermain-main, menoton DVD cerita kartun,ultraman, upin & Ipin dan juga tempat untuk abang bermain PS 2 kesayangannya. Dan kini di loteng itu kami jadikan tempat menyimpan barang-barang kalian.Andaikata kalian berdua masih lagi bersama kami tika ini ummi dapat rasa betapa gembiranya kamu berdua berlari turun naik menyusuri mata tangga,terpekik terlolong memanggil antara satu sama lain,mesti akan menjadi hingar bingar suara kalian apabila berkelahi…tapi itu andainya ummi sahaje ianya sudah semesti tidak menjadi kenyataan kerana kalian lebih bahagia dan gembira di “alam sana” di taman syurga milik Nya .
Alhamdulillah amat sempurna dan kemas sekali hasil kerja tangan Pakcik Nuar yang membuat loteng di rumah kita.Walaupun ruangnya tidak berapa luas, tapi ianya cukup untuk kami menyimpan semua barangan milik kalian. Kombinasinya warna cukup menarik, warna kegemaran kalian berdua, hijau dan biru…nyaman, sejuk di mata dan di hati. Angin mencuri masuk melalui jendela kecil membuat kami leka setiap kali berada di situ.

Setiap helaian pakaian kalian ummi simpan rapi dalam almari, tidak ada satupun yang terkurang.
Masih terngianga-ngiang di telinga ummi kata –kata adik semasa ummi melipat pakaian abang untuk disimpan”ummi boleh tak bila adik besar macam abang,  adik nak pakai baju, seluar dan kasut abang? dan baju ,seluar dan kasut adik bolehlah bagi pada Amsyar”……..

 Beg, buku dan alatan sekolah juga telah kami sediakan satu tempat khas. Setiap kali ummi ke atas untuk mengemas, ummi tidak pernah jemu membaca hasil kerja sekolah kalian, ummi paling tertarik dengan tajuk karangan abang yang bertajuk “Emak Saya-Saya Sangat Sayang Emak Saya”…ummi akan membaca berkali-kali tidak pernah jemu sayang…..Adik pula tulisan agak kemas dan cantik tapi bila berwarna agak comot maklumlah adik hamya sempat berada di tadika selama 4 bulan sahaja… .

Mainan mainan kalian tiada siapa yang berani menyentuhnya. Dari sekecil kecil kereta mainan hingga sebesar-besar kereta mainan ummi susun seelok mungkin.Pelbagai koleksi patung kartun berdiri megah di satu sudut. Tapi sayangnya koleksi telefon bimbit milik abang dan cenderahati yang abang beli semasa kita sekeluarga bercuti di Cameron Hingland dan Langkawi telah dicuri orang, mereka menceroboh ke rumah kita semasa proses pengubahsuaian.
' Pasti ada yang akan tersentuh apabila melihat koleksi botol susu yang berbagai bentuk dan warna. Kesemua itu milik kalian, ummi menyimpan sedari kalian lahir sehingga berhenti menyusu. Malah ummi masih ingat kepunyaan siapa botol susu itu, pada umur berapa kalian menggunakannya. Ubat-ubatan kalian pada hari hari terakhir kalian guna juga ummi simpan untuk kenang kenangan.
Di dinding tergantung kopiah dan topi yang digunakan sedari kecil hinggalah saat terakhir usia kalian, disetiap sudut gambar-gambar tersenyum manja dan segak,pelbagai aksi dan gaya.

Kasut,selipar,talipinggan, dan beg sekolah juga kami simpan seelok mungkin.
Televesyen dan cd player dimana tempat kalian menonton ceritakan kartun, ultraman dan bermain play station juga ditempat di loteng. Sebiji radio abah tempatkan di situ juga dan radio itu sering abah pasangkan dengan cd zikir dan mengaji.
 Sekarang ini abah dan angahlah  yang sering bersantai sambil menonton dan mendengar radio di loteng itu. Along jika dia balik ke rumah pasti di situ jugalah tempat dia sering menghabiskan masanya dan situ juga dia akan tidur malah makanpun di situ juga.
Wahai si bidadari syurga….akan kami simpan kemas-kemas memori indah kami bersama kalian, akan kami kenang setiap saat masa kita bersama-sama walaupun kadangkala kenangan itu membuat airmata kami sering tertumpah. Nama kalian akan sentiasa meniti dibibr kami, keletah dan gelagat kalian akan sentiasa bermain di mata kami, senyuman dan tawa kalian akan sentiasa menghias di hati dan dimata kami. Akan kami jaga setiap barangan kalian seperti kami menjaga kalian satu ketika dulu…wahai sibidadari syurga.
Ianya akan tetap di situ…tempat dimana kami melepas rindu  bila setiapkali rasa itu datang bertandang. Di situ semua kenangan pahit manis, suka duka kami tempatkan..disitu…tempatnya..”MEMORIAL MDAZA”

Kenangan terindah 
UmmiMdaza 4/4/2013(1.25pm)

No comments:

Post a Comment